Halaman

Khamis, 10 September 2015

Pemburuan kelah merah di Hulu Petuang

TRAGEDI ngeri mengorbankan mangsa dua beranak yang dilanggar 'kepala air' di Sungai Petuang, Terengganu sekitar tahun 90-an tiba-tiba muncul di fikiran penulis ketika menyusuri tebing sungai yang sama pada trip  memancing  baru-baru ini.

Timbul perasaan pelik bagaimana arus yang tenang di permukaan sungai itu boleh bertukar menjadi gelombang maut dengan mencapai ketinggian beberapa meter.

Kejadian yang menimpa keluarga kaki pancing itu diceritakan 'orang-orang lama' di Pengkalan Gawi, Kenyir, ketika penulis bersama lima rakan menunggu pemandu bot untuk ke hulu Sungai Petuang.

Menurut cerita, ketika kepala air berupa tsunami itu 'turun', arus deras akan menyapu bersih semua sampah-sarap malah apa sahaja yang berada di sepanjang aliran sungai.

Bermula dari kawasan hulu, limpahan air yang membawa bersama kayu-kayu mati itu hanya akan reda sebaik sahaja 'kepalanya' keluar ke muara tasik.

''Berjaga-jaga bila sampai di sungai itu. Perhatikan pergerakan air, sampah yang timbul dan sentiasa peka kepada bunyi di persekitaran," pesan mereka.

Kumpulan kami seramai lapan orang bersama dua pemandu bot beredar dari empangan itu untuk meneruskan perjalanan ke hulu Sungai Petuang yang dikhabarkan memakan masa dua hari satu malam.

Berbanding tempat-tempat lain seperti Sungai Cacing, Sungai Maya dan Sungai Tebuai, tempat itu masih tidak dikenali di kalangan kaki pancing kerana lokasinya yang terpencil.

Namun bagi mereka yang pernah meredah laluan berjeram dan sampai ke sana, sungai itu adalah lubuk kepada spesies  ikan  air tawar paling berharga iaitu  kelah  merah.

Pada hari pertama, pengembaraan berjam-jam di hutan 'X-Files' itu terpaksa dihentikan sebaik sahaja kami tiba di Jeram 21 kerana hari mula gelap.

Keesokan harinya selepas bersusah payah menolak bot untuk mengharungi air sungai yang cetek kami akhirnya tiba di destinasi, kira-kira pukul 6 petang.

Sebelah malamnya, ahli kumpulan mengambil peluang untuk merehatkan diri sambil menyiapkan kelengkapan masing-masing.

Hari ketiga bermula seawal mungkin, selepas sarapan kami berkejar mendapatkan peralatan pancing untuk masa yang dinantikan.

Di pinggir lubuk Petuang, kami mengeluarkan buah-buah kelapa sawit yang diperam sejak beberapa hari dan ditabur ke permukaan sungai sebagai 'rasuah' kepada  kelah - kelah  yang sedang kelaparan.

Kami terpegun seketika kerana tidak lama selepas itu berpuluh-puluh kelah  merah yang kini sangat sukar ditemui muncul dalam kejernihan air sungai.

Menggunakan joran G-Loomis Custom Blank dengan kekuatan tali Daiwa Cristal 15 paun, percubaan pertama penulis bermula kira-kira pukul 10 pagi, waktu terbaik untuk  memancing   kelah .

Selepas dua jam menunggu, joran sepanjang tujuh kaki itu kemudian disentap. Tarikan kuat yang dirasai pada kelili Shimano Bait Runner M35000 menyebabkan penulis terpaksa bertahan selama hampir setengah jam untuk menumpaskan raja  ikan  itu.

Berbekalkan pengalaman 20 tahun dalam arena pancing, kelincahan dan muslihat  kelah  seberat lapan kilogram itu akhirnya tewas di tangan penulis.

Keunikan dan kecantikan spesies Tor Tambroides yang berada di tangan ketika itu membuatkan penulis leka seketika sebelum menyambung semula tugas memburu  ikan  liar tersebut.

Harus diingat,  memancing   kelah  bukan semudah  memancing  ikan - ikan  lain, banyak pantang larang yang harus dipatuhi walaupun berada di lubuknya.

Antaranya yang sering diamalkan adalah tidak membuat bising dan tidak merokok ketika  memancing .

Bagi penulis, semua itu bergantung kepada pengalaman seseorang cuma yang penting kaki pancing harus mematuhi amaran larangan  memancing di kawasan-kawasan tertentu dan  memancing  di tempat yang dibenarkan.


end

1 ulasan:

  1. assalamualaikum..
    boleh minta cntc nmbr tekong?

    BalasPadam