ROMPIN 14 Sept. 2015 - Pasukan Xzoga muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan memancing, Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) dengan merangkul wang tunai RM20,000 dalam acara yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam.
Pasukan campuran dari Malaysia dan Singapura itu berjaya mendaratkan sebanyak 24 ekor ikan layaran dengan catatan markah 14,000 mata menewaskan 34 kumpulan lain.
Dengan kemenangan itu, pasukan yang terdiri daripada tiga peserta tersebut berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi dan peralatan memancing.
Sementara itu, pasukan Gawas yang terdiri dari peserta campuran Malaysia dan New Zealand dinobatkan sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM14,000 selepas menaikkan 23 ekor ikan dengan catatan mata sebanyak 13,800.
Tempat ketiga pula yang menyediakan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 menjadi milik pasukan dari Malaysia iaitu Penc Conflict dengan catatan mata sebanyak 10,800 dan berjaya menangkap 18 ekor ikan.
Sebanyak 34 pasukan dengan 102 peserta dari pelbagai negara seperti New Zealand, Australia, Indonesia, Singapura, China, Jepun dan Filipina menyertai pertandingan kali ini.
Majlis penyampaian penutup dan menyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan ADUN Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahussin.
Sementara itu, Hasan dalam ucapannya berkata, usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ini dapat meningkatkan lagi sektor sukan memancing di daerah ini.
"Memandangkan aktiviti memancing ikan layaran ini mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang baik, maka adalah penting bagi kita untuk memastikan ianya adalah industri yang mampan.
"Oleh itu, konsep tangkap dan lepas perlu diterapkan bukan sahaja kepada peserta pertandingan ini malah kepada semua pemancing," ujarnya.
habis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan