Halaman

Selasa, 6 Oktober 2015

Misteri ikan tapah

 IKAN  tapah atau nama saintifiknya Wallago Attu merupakan antara  ikan  air tawar terbesar yang ditemui di negara-negara beriklim tropika seperti negara ini, Indonesia, Thailand, Vietnam, India dan Bangladesh.

Spesies  ikan  yang biasanya menghuni kawasan berlumpur di sungai dan  tasik  ini dikatakan mampu membesar sehingga mencapai berat ratusan kilogram dengan panjang mencecah beberapa meter.

Di Malaysia,  ikan  tapah bukan sahaja menjadi buruan golongan pemancing tetapi turut dikaitkan dengan pelbagai kisah misteri dan aneh yang sebahagiannya masih lagi tidak terungkai.

Antara cerita yang sering menjadi topik perbualan adalah mengenai sumpahan atau larangan memakan  ikan  tapah bagi penduduk di kawasan pesisir Sungai Perak khususnya di sekitar Bota dan Lambor.

Kisah-kisah daripada kumpulan pemancing tegar pula menggambarkan  ikan  tapah sebagai  ikan  yang agresif. Cerita tapah sebesar perahu yang mencari makan dengan menyambar monyet yang bergayutan di dahan-dahan pokok sememangnya popular di beberapa  tasik  utama seperti Kenyir,  Chini  dan Sungai Pahang.

Bahkan ada yang menceritakan  ikan  bermulut leper seperti  ikan  baung itu pernah menyambar seorang wanita yang sedang membasuh pakaian di tebing sungai. Namun sejauh mana kebenaran kejadian itu tidak pula dapat dipastikan.

end///

Isnin, 14 September 2015

Royal Belum lubuk idaman kaki pancing

LOKASI Hutan Simpan Negeri Perak, Royal Belum ibarat  lubuk  idaman buat kaki pancing ikan air tawar dan pencinta alam.

Landskap alam semula jadi hutan hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya ini kaya dengan kepelbagaian spesies yang masih kekal setelah 130 juta tahun.

Jika mengunjungi destinasi tersebut, pengunjung pasti akan tertarik melihat panorama permukaan hutan yang dipenuhi flora dan fauna seluas 117,500 hektar.

Memandangkan lokasi tersebut amat cantik dan sesuai untuk dijadikan lokasi pelbagai aktiviti riadah, penulis dan beberapa rakan baru-baru ini berpeluang meredah belantara tersebut bagi mencari  lubuk  yang diidamkan.


Matlamat kumpulan kami yang terdiri daripada 29 orang dengan iringan pemandu pelancong, adalah untuk menjejak  lubuk  ikan air tawar yang telah lama diidamkan terutamanya ikan kelah di kawasan utara Hutan Simpan Temenggor.

Kepenatan yang dirasai semasa perjalanan hilang begitu sahaja apabila tiba di lokasi berkenaan, lebih-lebih lagi setelah terpandang kawasan  lubuk  Sungai Laho yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar.

Berbeza dengan lokasi  lubuk  yang lain, Sungai Laho amat jernih airnya sehingga menampakkan segala isi perut sungai berkenaan. Melihat batu-batu sungai pelbagai bentuk dan anak-anak ikan yang bermain di tepi tebing menyemarakkan lagi semangat kami untuk memulakan aktiviti memancing.

Bagaimanapun, untuk sampai ke sana pengunjung perlu mengharungi perjalanan selama lima jam dari Jeti Tapak Perkemahan Sungai Kejar melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho.

Jika mampu berjalan lagi dua jam maka anda akan tiba ke kampung lama di Kebeng yang terkenal sebagai kawasan simpanan gajah liar.

Di sana, anda juga boleh melihat tapak perkampungan orang Melayu dahulu kala. Antara peninggalan yang terdapat di sana ialah seperti dusun buah-buahan, bendang dan tapak perkuburan lama.

 Lubuk  kaki pancing
Dengan ciri-ciri yang luar biasa, Royal Belum bukanlah destinasi pelancongan biasa. Ia lebih tepat dianggap lokasi  lubuk  idaman buat kaki pancing dan pencinta alam mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah.

Setelah melabuhkan tirai di Sungai Laho, destinasi itu merupakan lokasi yang wajib dilawati buat kaki pancing dan mereka yang mencintai alam semula jadi.

Tetapi jika anda bukan jenis yang kurang tahan lasak dan takut kepada pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka rimba Royal Belum bukanlah destinasi pilihan

Apatah lagi buat mereka yang tidak boleh lekang dengan tilam empuk, televisyen flat skrin leper dan bilik tidur berhawa dingin di rumah.

Ini kerana, untuk tiba ke sana, anda sudah pasti diancam dengan serangan pacat dan pelbagai macam serangga termasuk haiwan liar.

Pendek kata, anda perlu meredah hutan belantara yang tebal, turun naik bukit, mengharungi sungai deras ataupun berbatu dan bakal ditemani kegelapan serta bunyi-bunyi rimba penuh mistik.

Pemandu Pelancong, Samsul Anuar Sanusi, 35, berkata, Royal Belum sesuai dijadikan lokasi buat mereka yang berminat dengan aktiviti memancing.

"Kebanyakkan kaki pancing mula menjejak ikan air tawar di sini bermula pada bulan Januari hingga Oktober manakala untuk menjejak ikan Kelah pula waktu paling sesuai ialah pada bulan Ogos hingga Disember.

"Antara spesies ikan yang terdapat di Royal Belum ialah seperti ikan Sebarau, Kelah, Baung, Balong, Kemolah, Kenalan, Tangkas, Kejor dan  Toman .

"Lagi jauh anda merentasi hutan maka saiz ikan yang terdapat di sini juga semakin besar lebih-lebih lagi jika memancing di Kebeng.

"Di Kuala Tasik Banding, kebiasaannya saiz ikan di sana hanya satu hingga dua kilogram tetapi di Sungai Ketir hingga ke Kebeng, saiz ikannya melebihi empat kilogram ke atas," katanya.

Menurutnya, selain spesies ikan air tawar, Royal Belum juga kaya dengan pelbagai spesies hidupan haiwan liar seperti gajah, kijang, rusa, seladang, pelanduk, tapir, harimau dan badak.

Bagaimanapun, Samsul berkata, haiwan-haiwan tersebut tidak mengganggu manusia selagi ia tidak diancam.

end///

Pasukan Xzoga muncul juara RPBIC

ROMPIN 14 Sept. 2015 - Pasukan Xzoga muncul sebagai juara keseluruhan pertandingan memancing, Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) dengan merangkul wang tunai RM20,000 dalam acara yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam.

Pasukan campuran dari Malaysia dan Singapura itu berjaya mendaratkan sebanyak 24 ekor ikan layaran dengan catatan markah 14,000 mata menewaskan 34 kumpulan lain.

Dengan kemenangan itu, pasukan yang terdiri daripada tiga peserta tersebut berjaya membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi dan peralatan memancing.

Sementara itu, pasukan Gawas yang terdiri dari peserta campuran Malaysia dan New Zealand dinobatkan sebagai naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM14,000 selepas menaikkan 23 ekor ikan dengan catatan mata sebanyak 13,800.

Tempat ketiga pula yang menyediakan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 menjadi milik pasukan dari Malaysia iaitu Penc Conflict dengan catatan mata sebanyak 10,800 dan berjaya menangkap 18 ekor ikan.

Sebanyak 34 pasukan dengan 102 peserta dari pelbagai negara seperti New Zealand, Australia, Indonesia, Singapura, China, Jepun dan Filipina menyertai pertandingan kali ini.

Majlis penyampaian penutup dan menyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan ADUN Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahussin.

Sementara itu, Hasan dalam ucapannya berkata, usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ini dapat meningkatkan lagi sektor sukan memancing di daerah ini.

"Memandangkan aktiviti memancing ikan layaran ini mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang baik, maka adalah penting bagi kita untuk memastikan ianya adalah industri yang mampan.

"Oleh itu, konsep tangkap dan lepas perlu diterapkan bukan sahaja kepada peserta pertandingan ini malah kepada semua pemancing," ujarnya.

habis


Khamis, 10 September 2015

Pemburuan kelah merah di Hulu Petuang

TRAGEDI ngeri mengorbankan mangsa dua beranak yang dilanggar 'kepala air' di Sungai Petuang, Terengganu sekitar tahun 90-an tiba-tiba muncul di fikiran penulis ketika menyusuri tebing sungai yang sama pada trip  memancing  baru-baru ini.

Timbul perasaan pelik bagaimana arus yang tenang di permukaan sungai itu boleh bertukar menjadi gelombang maut dengan mencapai ketinggian beberapa meter.

Kejadian yang menimpa keluarga kaki pancing itu diceritakan 'orang-orang lama' di Pengkalan Gawi, Kenyir, ketika penulis bersama lima rakan menunggu pemandu bot untuk ke hulu Sungai Petuang.

Menurut cerita, ketika kepala air berupa tsunami itu 'turun', arus deras akan menyapu bersih semua sampah-sarap malah apa sahaja yang berada di sepanjang aliran sungai.

Bermula dari kawasan hulu, limpahan air yang membawa bersama kayu-kayu mati itu hanya akan reda sebaik sahaja 'kepalanya' keluar ke muara tasik.

''Berjaga-jaga bila sampai di sungai itu. Perhatikan pergerakan air, sampah yang timbul dan sentiasa peka kepada bunyi di persekitaran," pesan mereka.

Kumpulan kami seramai lapan orang bersama dua pemandu bot beredar dari empangan itu untuk meneruskan perjalanan ke hulu Sungai Petuang yang dikhabarkan memakan masa dua hari satu malam.

Berbanding tempat-tempat lain seperti Sungai Cacing, Sungai Maya dan Sungai Tebuai, tempat itu masih tidak dikenali di kalangan kaki pancing kerana lokasinya yang terpencil.

Namun bagi mereka yang pernah meredah laluan berjeram dan sampai ke sana, sungai itu adalah lubuk kepada spesies  ikan  air tawar paling berharga iaitu  kelah  merah.

Pada hari pertama, pengembaraan berjam-jam di hutan 'X-Files' itu terpaksa dihentikan sebaik sahaja kami tiba di Jeram 21 kerana hari mula gelap.

Keesokan harinya selepas bersusah payah menolak bot untuk mengharungi air sungai yang cetek kami akhirnya tiba di destinasi, kira-kira pukul 6 petang.

Sebelah malamnya, ahli kumpulan mengambil peluang untuk merehatkan diri sambil menyiapkan kelengkapan masing-masing.

Hari ketiga bermula seawal mungkin, selepas sarapan kami berkejar mendapatkan peralatan pancing untuk masa yang dinantikan.

Di pinggir lubuk Petuang, kami mengeluarkan buah-buah kelapa sawit yang diperam sejak beberapa hari dan ditabur ke permukaan sungai sebagai 'rasuah' kepada  kelah - kelah  yang sedang kelaparan.

Kami terpegun seketika kerana tidak lama selepas itu berpuluh-puluh kelah  merah yang kini sangat sukar ditemui muncul dalam kejernihan air sungai.

Menggunakan joran G-Loomis Custom Blank dengan kekuatan tali Daiwa Cristal 15 paun, percubaan pertama penulis bermula kira-kira pukul 10 pagi, waktu terbaik untuk  memancing   kelah .

Selepas dua jam menunggu, joran sepanjang tujuh kaki itu kemudian disentap. Tarikan kuat yang dirasai pada kelili Shimano Bait Runner M35000 menyebabkan penulis terpaksa bertahan selama hampir setengah jam untuk menumpaskan raja  ikan  itu.

Berbekalkan pengalaman 20 tahun dalam arena pancing, kelincahan dan muslihat  kelah  seberat lapan kilogram itu akhirnya tewas di tangan penulis.

Keunikan dan kecantikan spesies Tor Tambroides yang berada di tangan ketika itu membuatkan penulis leka seketika sebelum menyambung semula tugas memburu  ikan  liar tersebut.

Harus diingat,  memancing   kelah  bukan semudah  memancing  ikan - ikan  lain, banyak pantang larang yang harus dipatuhi walaupun berada di lubuknya.

Antaranya yang sering diamalkan adalah tidak membuat bising dan tidak merokok ketika  memancing .

Bagi penulis, semua itu bergantung kepada pengalaman seseorang cuma yang penting kaki pancing harus mematuhi amaran larangan  memancing di kawasan-kawasan tertentu dan  memancing  di tempat yang dibenarkan.


end

Pahang Billfish bermula

KUANTAN 10 Sept. 2015  - Seramai 135 peserta dari seluruh dunia menyertai pertandingan memancing berprestij Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Edros Yahya berkata, pertandingan memancing ikan berparuh seperti mersuji dan layaran dengan gaya tangkap dan lepas edisi ke-11 itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM60,000.

" Sebanyak 45 buah bot terlibat dalam penyertaan kali ini dan penyertaan masih dibuka kepada kaki pancing sehingga malam esok.

" Bagaimanapun, peserta pada saat-saat akhir ini perlu mencari bot sendiri sebelum membuat pendaftaran. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM400 seorang dengan tiga orang bagi satu kumpulan atau sebuah bot," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Edros, sebanyak 65 peratus peserta dari luar negara seperti New Zealand, Australia, Indonesia, Singapura, China, Jepun dan Filipina.

" RPBIC sebalum ini turut mendapat pengiktirafan The Billfish Foundation di Miami, Amerika Syarikat dan berjaya memasuki sirkit International Game Fishing Association (IGFA).

" Oleh sebab itu, ikan layaran ini turut dijadikan salah satu produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung terutama kaki pancing ke Rompin dan negeri ini amnya," jelasnya.

Tambahnya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dijadualkan akan melepaskan para peserta pada Sabtu ini pada pukul 7.30 pagi di jeti Pantai Bernas, Rompin.

" Manakala, bagi acara penyampaian hadiah pula dijangka berlangsung di Lanjut Golden Beach Resort, Rompin pada pukul 8 malam pada Ahad ini," jelasnya.

end