Landskap alam semula jadi hutan hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya ini kaya dengan kepelbagaian spesies yang masih kekal setelah 130 juta tahun.
Jika mengunjungi destinasi tersebut, pengunjung pasti akan tertarik melihat panorama permukaan hutan yang dipenuhi flora dan fauna seluas 117,500 hektar.
Memandangkan lokasi tersebut amat cantik dan sesuai untuk dijadikan lokasi pelbagai aktiviti riadah, penulis dan beberapa rakan baru-baru ini berpeluang meredah belantara tersebut bagi mencari lubuk yang diidamkan.
Kepenatan yang dirasai semasa perjalanan hilang begitu sahaja apabila tiba di lokasi berkenaan, lebih-lebih lagi setelah terpandang kawasan lubuk Sungai Laho yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar.
Berbeza dengan lokasi lubuk yang lain, Sungai Laho amat jernih airnya sehingga menampakkan segala isi perut sungai berkenaan. Melihat batu-batu sungai pelbagai bentuk dan anak-anak ikan yang bermain di tepi tebing menyemarakkan lagi semangat kami untuk memulakan aktiviti memancing.
Bagaimanapun, untuk sampai ke sana pengunjung perlu mengharungi perjalanan selama lima jam dari Jeti Tapak Perkemahan Sungai Kejar melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho.
Jika mampu berjalan lagi dua jam maka anda akan tiba ke kampung lama di Kebeng yang terkenal sebagai kawasan simpanan gajah liar.
Di sana, anda juga boleh melihat tapak perkampungan orang Melayu dahulu kala. Antara peninggalan yang terdapat di sana ialah seperti dusun buah-buahan, bendang dan tapak perkuburan lama.
Lubuk kaki pancing
Dengan ciri-ciri yang luar biasa, Royal Belum bukanlah destinasi pelancongan biasa. Ia lebih tepat dianggap lokasi lubuk idaman buat kaki pancing dan pencinta alam mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah.
Setelah melabuhkan tirai di Sungai Laho, destinasi itu merupakan lokasi yang wajib dilawati buat kaki pancing dan mereka yang mencintai alam semula jadi.
Tetapi jika anda bukan jenis yang kurang tahan lasak dan takut kepada pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka rimba Royal Belum bukanlah destinasi pilihan
Apatah lagi buat mereka yang tidak boleh lekang dengan tilam empuk, televisyen flat skrin leper dan bilik tidur berhawa dingin di rumah.
Ini kerana, untuk tiba ke sana, anda sudah pasti diancam dengan serangan pacat dan pelbagai macam serangga termasuk haiwan liar.
Pendek kata, anda perlu meredah hutan belantara yang tebal, turun naik bukit, mengharungi sungai deras ataupun berbatu dan bakal ditemani kegelapan serta bunyi-bunyi rimba penuh mistik.
Pemandu Pelancong, Samsul Anuar Sanusi, 35, berkata, Royal Belum sesuai dijadikan lokasi buat mereka yang berminat dengan aktiviti memancing.
"Kebanyakkan kaki pancing mula menjejak ikan air tawar di sini bermula pada bulan Januari hingga Oktober manakala untuk menjejak ikan Kelah pula waktu paling sesuai ialah pada bulan Ogos hingga Disember.
"Antara spesies ikan yang terdapat di Royal Belum ialah seperti ikan Sebarau, Kelah, Baung, Balong, Kemolah, Kenalan, Tangkas, Kejor dan Toman .
"Lagi jauh anda merentasi hutan maka saiz ikan yang terdapat di sini juga semakin besar lebih-lebih lagi jika memancing di Kebeng.
"Di Kuala Tasik Banding, kebiasaannya saiz ikan di sana hanya satu hingga dua kilogram tetapi di Sungai Ketir hingga ke Kebeng, saiz ikannya melebihi empat kilogram ke atas," katanya.
Menurutnya, selain spesies ikan air tawar, Royal Belum juga kaya dengan pelbagai spesies hidupan haiwan liar seperti gajah, kijang, rusa, seladang, pelanduk, tapir, harimau dan badak.
Bagaimanapun, Samsul berkata, haiwan-haiwan tersebut tidak mengganggu manusia selagi ia tidak diancam.
end///