Sebelum ini walaupun aku nie anak Pahang tidak pernah jejak sekali pun ke Pulau Tioman, namun selepas dipindahkan ke Kuantan barulah aku berpeluang untuk ke sana.
Pengalaman pertama naik feri, memang agak lama kira-kira sejam lebih namun puas hati sebab nampak permandangan pulau-pulau di sekitar Tioman ini.
Sampai je di sana kita akan nampak anak-anak ikan bermain di tepi feri untuk cari makanan, memang puas hati la, tak sangka di Pahang nie masih ada lagi tempat yang cantik seperti itu.
Selepas itu banyak kali jugaklah aku ke Tioman. Ada satu tu siap balik hari lagi tetapi balik dan pergi naik speed boat Jabatan Taman Laut la. Memang la laju tak sampai 40 minit pun. Tetapi puas la.
Ok nie ada sedikit artikel nak kongsi sikit dengan kawan-kawan semua. - yen-
---------------------------------------------------------------------------------------
SESIAPA saja pasti akan jatuh cinta pada keindahan panorama Pulau Tioman. Pulau yang bergelar syurga taman laut dan pantai itu adalah salah satu tarikan pelancongan utama yang terletak di sebelah timur Semenanjung Malaysia, antara sempadan Pahang dan Johor.
Keunikan Pulau Tioman yang menghadap perairan Laut China Selatan itu dek kerana hamparan pantai putih lagi halus dan laut biru kehijauan serta hidupan laut seperti terumbu karang dan spesis ikan yang berwarna-warni.
Pulau yang terkenal di kalangan peminat sukan menyelam itu memiliki keluasan 39 kilometer (km) panjang dan 12 km lebar serta berhampiran dengan beberapa buah pulau kecil seperti Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Dayang, Pulau Pinang dan Pulau Tulai.
Ada beberapa kampung yang terdapat di Pulau Tioman . Antaranya ialah Tekek, Paya, Juara, Air Batang, Salang, Mukut, Genting dan Nipah. Hanya Kampung Juara yang menghadap Laut China Selatan manakala yang lain menghadap Semenanjung Malaysia.
Jika anda mengunjungi Pulau Tioman dalam masa terdekat ini, pulau itu baru sahaja melalui musim sepinya iaitu musim tengkujuh.
Musim sepi itu tidak melibatkan aktiviti pelancongan sejak Disember, Januari dan Februari lalu kerana ombaknya mampu mencapai ketinggian lima meter dan boleh menenggelamkan bot.
Terdapat banyak resort dan calet yang cantik dan murah untuk anda berehat di tepi pantai yang menawarkan harga yang berpatutan tetapi selesa.
Jika anda berhajat untuk mencari ketenangan, Sun Beach Resort adalah pilihan terbaik. Suasana yang aman damai serta sunyi di resort tersebut cukup mendamaikan sama ada untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, keluarga dan rakan-rakan.
Apa yang lebih istimewa di Sun Beach Resort, pengunjung berpeluang menikmati suasana serba tradisional bermula daripada rekaan calet berkonsep tropika, cara layanan serta menu makanan.
Resort yang terletak di sepanjang pantai Kampung Genting menjadi tempat paling sesuai dan menarik untuk aktiviti snorkeling serta memancing ikan.
Bagi kemudahan rekreasi penghuni, resort berkenaan bukan saja menawarkan penginapan yang cukup selesa tetapi juga kemudahan lain.
Antaranya bot untuk mengelilingi pulau, kayak, peralatan menyelam dan snorkeling. Sewa untuk setiap kemudahan tersebut mengikut kadar yang ditetapkan oleh resort itu sendiri.
Kawasan perairan di sekitar Pulau Tioman tidak dinafikan menjadi kawasan utama untuk penyelam kerana keindahan terumbu karang serta kehidupan laut yang lain.
Kehidupan laut di situ cukup terpelihara dan sesiapa yang menceroboh serta merosakkan hidupan laut itu akan didakwa.
Keadaan pulau pula lebih menarik apabila anda berkesempatan melihat waktu terbit dan terbenamnya matahari.
Malam merupakan saat yang ditunggu-tunggu kebanyakan pelancong di sini kerana Pulau Tioman adalah tempat paling sesuai bagi mereka yang mencintai alam semulajadi.
Bagi mereka yang benar-benar menghayatinya, keindahan yang terpancar, sukar dijelaskan dengan kata-kata. Bayangkan anda duduk di tepi pantai dalam suasana yang damai hanya bertemankan bunyi hempasan ombak bersama kilauan bulan yang terang.