Ada dua perkara utama yang dititikberatkan oleh kaki pancing terutamanya mereka yang bergelar kaki pancing tegar iaitu alatan dan lubuk (lokasi pancing yang banyak ikan).
Kadang-kadang tentang hasil pancing tidak dihiraukan sangat biar pulang dengan tangan kosong janji puas boleh baling umpan dan pergi ke lubuk baru.
Bercerita mengenai lubuk, ia satu perkataan yang sensitif buat kaki pancing. Maklumlah lubuk dengan kaki pancing tidak dapat dipisahkan ibarat irama dengan lagu.
Terdapat pelbagai tempat yang diklasifikasikan sebagai lubuk oleh kaki pancing tidak kira sama ada di laut, sungai, kolam, pantai, paya dan laut.
Bermula dari utara tanah air hinggalah ke Sabah dan Sarawak, semuanya mempunyai lubuk pancing dan keistimewaan yang tersendiri.
Kita bermula dari negeri yang paling utara iaitu Perlis, kawasan yang menjadi tumpuan kaki pancing ialah sepanjang Sungai Korok.
Bagi mereka yang bergelar kaki pancing dan anak watan negeri tersebut pasti mempunyai pengalaman memancing di sungai tersebut yang mengandungi ikan jenis belida dan lampam.
Selain daripada itu antara lubuk ikan air tawar di negeri tersebut ialah empangan Timah Tasoh yang menjanjikan ikan tilapia kepada mereka yang menunggu dengan penuh kesabaran.
Seterusnya di persisiran pantai Kuala Perlis dan Sungai Baru, jika tiada aral melintang kaki pancing boleh menaikkan sembilang, gelama dan kerapu.
Seterusnya lubuk di negeri Kedah, bagi memancing tegar pasti pernah memancing di luar Pulau Langkawi antara perairan negara yang mempunyai banyak lubuk ikan .
Selain di sekitar tukun yang terdapat di tengah laut, kaki pancing boleh mengadu kehebatan di beberapa pulau kecil yang dikelaskan sebagai lubuk ikan .
Antara spesies ikan yang bakal dinaikkan oleh kaki pancing ialah jenahak, belitung, kerapu, alu-alu dan kertang.
Manakala di Kedah, antara lubuk yang popular tentunya di Terusan Wan Mat Saman, Sungai Muda, Tasik Pedu dan Empangan Tanjung Chali dan Sungai Alor Mengkudu.
Jenis ikan yang terdapat di lubuk Jelapang Padi itu ialah jelawat, belida, lampam, toman, patin dan rohu.
Pulau Pinang pula terkenal dengan lubuk di Pulau Kendi, Tukun Karang Taiwan, Tukun Karang Jepun, Pulau Betung, Tanjung Mat Sari, Pasir Badak, Tanjung Gemuk dan Tanjung Gertak Sanggul.
Joran kaki pancing pasti dilarikan spesies kerapu, jenahak, senangin, siakap merah, gerut-gerut, pari, gelama papan, manakala ikan pertengahan air termasuk tenggiri, alu-alu dan talang.
Lubuk di Perak pula banyak tertumpu di persekitaran Empangan Temenggor, iaitu Tasik Temenggor, Tasik Chenderoh dan Tasik Kenering. Antara jenis ikan yang terdapat di situ ialah toman, temoleh, belida, kelah dan tilapia.
Jika ingin memancing ikan air masin pula lubuk yang terkenal tentunya di Pulau Sembilan, Pulau Pangkor, Pulau Jarak dan di muka Kuala Lumut yang menjanjikan syurga ikan kepada kaki pancing terutama ikan jenis kerapu, tambak, talang, gerpoh, ebek, cencaru dan kerisi.
Bagi warga kota pula yang merantau di Kuala Lumpur dan Selangor cukup sinonim dengan lubuk ikan di Pulau Angsa, Pulau Ketam, Pulau Indah, Pelabuhan Kelang dan Tanjung Harapan.
Lubuk-lubuk ini terkenal dengan ikan pari, sembilang, jenahak, siakap merah, gelama, daun baru dan telinga gajah.
Manakala di kawasan sungai pula ia agak kurang popular berikutan kolam ikan berbayar yang banyak dibuka tetapi anda boleh mencuba memancing di Sungai Bernam, Sungai Selangor dan sekitar kawasan Kuala Selangor.
Jika anda ingin mencari lubuk udang galah bolehlah singgah di Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan. Malah, negeri yang tersohor dengan adat perpatih itu juga terkenal dengan tempat memancing di sepanjang pantai Port Dickson dan perairan Selat Melaka dengan hasil jenahak, kerapu, gerut-gerut.
Johor juga cukup terkenal dengan lubuk ikan laut seperti di Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Pisang. Hasilnya ialah ikan berprofil tinggi seperti tenggiri, ebek, kerapu, aruan tasik, alu-alu dan pelbagai spesies ikan merah.
Di kawasan Sungai Redan, Ulu Tiram pula, kaki pancing berpotensi untuk membawa naik pari, kerapu, siakap, senangin, tebal pipi dan jenahak. Ikan ini juga banyak terdapat di lubuk lain seperti di Perigi Aceh, Tanjung Sedeli dan Tebing Runtuh.
Penggemar udang galah pula boleh menduga kepakaran mereka di Sungai Mawai manakala ikan sungai terbaik seperti kelah, kelisa, sebarau, kaloi, toman dan tapah boleh dipancing di sekitar Kuala Lemakoh dan Sungai Endau.
Bila sebut tentang Pahang pasti para kaki pancing terbayang pekan Rompin yang terkenal dengan aktiviti memancing baik di sungai mahupun laut.
Kalau di laut ia terkenal dengan ikan layaran manakala kalau di sungai pula sudah tentu di Taman Negara, lubuk bagi ikan jenis kelah, patin, tapah, lampam dan sebarau.
Tempat lain yang dianggap lubuk bagi kaki pancing ialah di Nenasi, Merchong, Hulu Rompin , Hulu Lemakoh, Lubuk Karang Do, Tasik Bera, Tasik Chini, Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.
Seterusnya di Terengganu, lubuk yang paling digemari tentunya di kawasan pulau yang indah dan air yang jernih seperti di luar Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Bidong, Pulau Merang, Pulau Yu, Pulau Tenggol.
Ikan yang bakal tersangkut di mata kail kaki pancing di situ ialah ikan merah, gerpoh, alu-alu, mayong, belitung, kerapu merah, telinga gajah dan ibu kerisi.
Spesies ikan air tawar pula tentunya di lubuk seperti Tasik Kenyir, Sungai Terengganu, Sungai Cacing, Sungai Mangkok dan Sungai Penarik.
Tasik Kenyir terkenal dengan kelicikan toman bersama 39 spesies ikan yang lain manakala di kawasan lain pula ada juga terdapat jenis ikan kelah, baung, sebarau dan patin.
Kaki pancing tegar pasti tidak ketinggalan untuk memancing di Kelantan berikutan beberapa tempat yang dianggap lubuk seperti di Tok Bali, Kuala Koh, Sungai Golok dan Sungai Kelantan dihuni ikan jenis kelah, kelisa, belida, lampam dan spesies ikan air tawar yang lain seperti keli serta haruan.
Menjengah ke sebarang Laut China Selatan pula iaitu di Sarawak, kaki pancing akan dihidangkan dengan ratusan lubuk ikan seperti di Hulu Sungai Rajang, Mukah, Sungai Bedengan.
Lokasi ini banyak dihuni gelama, siakap merah, gerut, belanak, sembilang dan sebagainya di hulu sungai ini terdapat juga udang galah yang bersaiz besar.
Manakala di laut Mukah terdapat ikan jenis tenggiri batang, merah, cupak, bayan, landok, aruan tasik, kerapu sementara di kawasan muara Tebas pula terdapat ikan jenis pari, buntal, jenahak dan baung.
Ikan jenis air tawar pula terdapat di Sungai Satok, Sungai Lundu, Sungai Sematan, Sungai Batang Ai, Sungai Miri dan Sungai Igan yang terkenal dengan ikan jenis talapia dan ikan gergasi empurau selain udang galah.
Bagi kaki pancing laut dalam tentu lebih senang dengan lubuk Parlour atau Paloh yang kaya dengan ikan tenggiri, sementara itu di kawasan telaga minyak Bintulu dan Beting Lucornia pula terdapat ikan tuna sementara Tanjung Datuk terkenal dengan permainan ikan gerpoh atau GT.
Sabah pula lebih terkenal dengan kaki pancing di laut terutamanya di kawasan Pulau Layang-Layang, Pulau Mengalum, Pulau Mantanani, Pulau Balambangan, Pulau Banggi yang meliputi kawasan Pantai Barat Sabah.
Kawasan tersebut merupakan lubuk bagi ikan jenis aji-aji, kertang, kerapu, tenggiri dan ikan merah.
Kawasan di Pantai Timur Sabah seperti Pulau Sipadan dan Pulau Mabul juga kaya dengan lubuk ikan tetapi ia telah dijadikan kawasan perlindungan di samping ancaman lanun.
Mungkin terdapat beberapa lubuk yang tidak dicatatkan tetapi semua kawasan lubuk di atas adalah menjadi pilihan utama kepada kaki pancing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan