IKAN tapah atau nama saintifiknya Wallago Attu merupakan antara ikan air tawar terbesar yang ditemui di negara-negara beriklim tropika seperti negara ini, Indonesia, Thailand, Vietnam, India dan Bangladesh.
Spesies ikan yang biasanya menghuni kawasan berlumpur di sungai dan tasik ini dikatakan mampu membesar sehingga mencapai berat ratusan kilogram dengan panjang mencecah beberapa meter.
Di Malaysia, ikan tapah bukan sahaja menjadi buruan golongan pemancing tetapi turut dikaitkan dengan pelbagai kisah misteri dan aneh yang sebahagiannya masih lagi tidak terungkai.
Antara cerita yang sering menjadi topik perbualan adalah mengenai sumpahan atau larangan memakan ikan tapah bagi penduduk di kawasan pesisir Sungai Perak khususnya di sekitar Bota dan Lambor.
Kisah-kisah daripada kumpulan pemancing tegar pula menggambarkan ikan tapah sebagai ikan yang agresif. Cerita tapah sebesar perahu yang mencari makan dengan menyambar monyet yang bergayutan di dahan-dahan pokok sememangnya popular di beberapa tasik utama seperti Kenyir, Chini dan Sungai Pahang.
Bahkan ada yang menceritakan ikan bermulut leper seperti ikan baung itu pernah menyambar seorang wanita yang sedang membasuh pakaian di tebing sungai. Namun sejauh mana kebenaran kejadian itu tidak pula dapat dipastikan.
end///